Selamat Datang

KOMSAS



DI PERPUSTAKAAN
                             
Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Maksud sajak: Rangkap satu

Apabila penyajak melangkah di perpustakaan, suasana bertukar dari hangat kepada dingin. Ia merujuk kepada penghawa dingin di dalam perpustakaan itu telah menerpa ke badan penyajak lalu menghilangkan rasa panas dar luar perpustakaan. Penyajak melanjutkan gambaran suasana perpustakaan yang "terlalu hening". Ringkasnya, suasana hiruk-pikuk di luar berubah kepada suasana tenang tenteram di perpustakaan.


Gua melambangkan satu lingkungan atau ruang yang eksklusif, pendeta ialah bijak pandai, manakala bersemadi melambangkan pengekalan sesuatu idea atau kebijaksanaan. Maka, perpustakaan merupakan tempat himpunan pemikiran bijak pandai dipelihara.

Di puncak sepi merujuk kepada perpustakaan yang senyap sunyi  memberi peluang kepada pengunjung Kepala-kepala runduk meneliti  memberi tumpuan terhadap pembacaan. Mata dan fikir bersebati bermaksud apa-apa yang dibaca dapat diproses oleh otak



Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Maksud sajak: Rangkap dua

Apabila penyajak berada di dalam perpustakaan, keadaan susunan rak-rak yang rapat dan dipenuhi dengan buku membuat penyajak berasa terlalu kerdil di tengah-tengah lautan ilmu yang tidak mampu beliau terokai. Buku yang diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang melaut luasnya menyedarkan "aku" bahawa dirinya tidaklah sehebat mana!

Hanya setitik dari tinta merujuk yang akan dicatat oleh penyajak hanyalah sedikit ilmu dari sebuah buku yang terdapat di perpustakaan. Hanya sebiji dari mutiara bermaksud dan memperoleh sedikit sahaja kebijaksanaan. Perpustakaan adalah pusaka nenek moyang yang terhimpun buku-buku sejak berzaman. Perpustakaan juga disifatkan sebagai warisan peradaban manusia sejak sekian lama.



Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak  berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Maksud sajak: Rangkap tiga

Penyajak berada di perpustakaan dan tidak pernah sama sekali berasa puas dengan ilmu yang diperoleh penyajak di perpustakaan tidak pernah berakhir. Di dada samudera, Tak berpantai memberi gambaran khazanah ilmu di perpustakaan lebih luas daripada laut. Meneguk air laut (masin) pastinya tidak menghilangkan dahaga, bahkan sebaliknya. Maknanya, proses pencarian ilmu tidak pernah menemui noktah.


No comments:

Post a Comment